Pengisian di dalam blog ini adalah hasil kiriman dari rakan-rakan siber yang mengirim artikel melalui facebook dan email.... mana-mana email yg elok dan macam bagus jer untuk dikongsi ... saya pastekan di sini.... Sebahagiannya pula saya salin dari majalah Ilmiah seperti Solusi dan Anis...terutamanya untuk panduan diri ini dan moga pembaca mendapat manafaat sama....InsyaAllah...

Wednesday, June 29, 2011

Peristiwa Isra' Mikraj

ISRA’ WAL-MIKRAJ


Setiap tahun apabila sampai tanggal 27 Rejab umat Islam diseluruh dunia akan mengadakan majlis sambutan peristiwa Isra' dan Mikraj. Isra' dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum Hijrah Rasulullah SAW dari Mekkah ke Madinah.

Sebelum Isra’ dan Mikraj

Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman.ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan " Isra’ " itu.

Semasa Isra’ ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa)

Sepanjang perjalanan (Isra’) itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;
iii.Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan);



Peristiwa Isra'

1. Orang yang bercucuktanam mengeluarkan hasil yang banyak dan cepat. Gambaran orang yang membelanjakan harta di jalan Allah.

2. Mencium bau yang wangi iaitu bau tukang sikat Firaun yang beriman kepada Allah.

3. Sekumpulan manusia menghempap kepala masing-masing dengan batu berulangkali. Gambaran orang yang berat melakukan solat fardhu.

4. Kumpulan manusia telanjang memakan rumput berduri, buah zakkum yang sangat pahit dan makan bara api Jahannam. Balasan orang yang tidak suka menderma, bersedekah dan tidak mengeluarkan zakat.

5. Orang yang mengguntingkan lidah tidak berhenti-henti. Balasan orang yang bercakap tetapi tidak mengamalkannya.

6. Sekumpulan manusia makan daging busuk sedangkan ada daging baik, balasan orang yang berzina sedangkan dirinya ada isteri yang sah.

7. Orang yang tenggelam timbul dalam lautan darah dan dilemparkan dengan batu. Balasan orang yang makan riba.

8. Kumpulan manusia mencakar-cakar muka dan dada dengan kuku yang tajam. Balasan orang yang suka mengumpat.

9. Orang yang membawa berkas kayu yang banyak tidak terangkat olehnya. Balasan oarang yang menerima amanah tetapi tidak sanggup melaksanakannya.

10. Seekor lembu keluar dari lubang kecil tetapi tidak dapat masuk semula ke dalam lubang tersebut. Gambaran orang yang suka bercakap besar.



Peristiwa Mi'raj

1. Wanita menangis sambil meminta pertolongan tetapi tiada yang sanggup membantu. Gambaran balasan wanita yang berhias bukan kerana suaminya.

2. Wanita tergantung pada rambutnya, otaknya menggelegak dalam periuk. Balasan wanita yang tidak menutup auratnya (rambut)

3. Wanita berkepala seperti babi, badannya seperti kaldai dan menerima berbagai balasan. Wanita yang suka membuat fitnah, bermusuh dengan jiran dan membuat dusta.

4. Wanita yang mukanya hitam dan memamah isi perutnya sendiri. Balasan wanita yang mengoda dan menghairahkan lelaki.

5. Lelaki dan wanita yang ditarik kemaluannya ke depan dan ke belakang serta dilontar mukanya ke api neraka. Kemudian ditarik dan dipukul hingga keluar api dari badannya. Balasan orang yang membesarkan diri dan takabur kepada orang ramai.

6. Lelaki dan wanita dimasukkan besi pembakar daging dari duburnya, keluar hingga ke mulutnya. Balasan orang yang membuat fitnah, mengejek dan mencaci.

7. Wanita tergantung rambutnya di pohon Zakkum, api neraka membakarnya lalu kering kecut dagingnya terbakar. Balasan wanita yang minum ubat untuk membunuh janin.

8. Wanita dibelenggu dengan api neraka, mulutnya terbuka luas, keluar api dari perutnya. Balasan wanita yang menjadi penyanyi tidak sempat bertaubat.

9. Lelaki dan wanita yang masuk api ke dalam perut dari duburnya lalu keluar dari mulut. Balasan orang yang makan harta anak yatim.

10. Lelaki dan wanita kepalanya terbenam dalam api, dituang pula air
panas ke badannya lalu melecur seluruh tubuhnya. Balasan orang yang berusaha ke arah pergaduhan sesama manusia.

Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat. (Hadis riwayat Muslim)


Peristiwa Semasa Mikraj

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

i.Langit Pertama: Rasulullah S.A.W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

ii.Langit Ke-2: Nabi S.A.W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

iii.Langit Ke-3: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.

iv.Langit Ke-4: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.

v.Langit Ke-5: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

vi.Langit Ke-6: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

vii.Langit Ke-7: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu.

viii.Tangga Ke-8: Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban. Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.
ix.Tangga Ke-9: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

x.Tangga Ke-10: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah alBaqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.


Kesimpulan

Peristiwa Isra’ dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah S.W.T. Allah telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda S.A.W.Diharap peristiwa besar Isra’ dan mikraj ini dapat memberi pengajaran dan ikhtibar yang berguna kepada kita semua,semoga dapat megecapi kebahagian di dunia dan akhirat.Kenanglah pergorbanan dan kasih sayang Rasulullah S.A.W kepada umatnya…

Mafhum Firman Allah S.W.T. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah Al-Israa': Ayat 1)
.


No comments:

Post a Comment