Pengisian di dalam blog ini adalah hasil kiriman dari rakan-rakan siber yang mengirim artikel melalui facebook dan email.... mana-mana email yg elok dan macam bagus jer untuk dikongsi ... saya pastekan di sini.... Sebahagiannya pula saya salin dari majalah Ilmiah seperti Solusi dan Anis...terutamanya untuk panduan diri ini dan moga pembaca mendapat manafaat sama....InsyaAllah...

Friday, August 19, 2011

Lailat Al- Qadr oleh Dr Abdullah Yassin



إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِى لَيْلَةِ القَدْرِ (1) وَمَا أَدْرَىكَ مَا لَيْلَةُ القَدْرِ (2) لَيْلَةُ القَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ (3) تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوْحُ فِيْهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ (4) سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الفَجْرِ (5)   Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu ? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar. ( Al-Qadr : 1-5)

Pengajaran Ayat :

1.      Berdasarkan ayat (1) di atas Al-Quran diturunkan pada malam Lailat Al-Qadr. Malam tersebut sangat mulia sehingga mendapat gelaran ( سَيِّدَةُ الَّيَالِي ) : Penghulu Semua Malam. Ayat ini ditafsirkan oleh ayat (3) suarh Al-Dukhan ( إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِى لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ ) : Sesungguhnya Kami menurunkannya (Al-Quran) pada malam yang diberkati. Lailat Al-Qadr penuh berkat bermakna pada malam itu ganjaran akan dilipat gandakan oleh Allah setiap amal soleh yang dilakukan oleh seseorang. Berdasarkan ayat (3) diatas “Lailat Al-Qadr“ lebih baik dari 1000 bulan atau hampir 84 tahun. Sungguh istimewa ganjaran sesiapa yang memperolehi malam tersebut. Itulah sebabnya pertanyaan tentang malam tersebut menggunakan istilah (وَمَا أدْرَىكَ  ) : Dan tahukah kamu ? Menurut disiplin Ilmu Tafsir segala pertanyaan dalam bentuk tersebut mesti membawa makna hebat dan istimewa ; seperti ( وَمَا أَدْرَىكَ مَا القَارِعَة ) : Dan tahukan kamu apakah itu Hari Kiamat itu ? ( وَمَا أَدْرَىكَ مَا يَوْمُ الدِّيْنِ ) : Dan tahukan kamu apakah itu Hari Pembalasan itu ?  Kalau ( لَيْلَةُ  ) maksudnya Malam, lalu apakah makna  ( القَدْرُ ) ? Ada tiga makna Al-Qadr ( القَدْرِ ) ; 1. Kemuliaan ; 2. Sempit ; 3. Penentuan Taqdir.  

2.      Malam Kemuliaan ;  Sungguh tepat jika malam tersebut dikatakan sebagai malam kemuliaan. Malam tersebut adalah malam yang diberkati Allah ( إنَّا أنْزَلْنَاهُ فِى لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ ) sebagaimana Allah SWT nyatakan tentangnya dalam ayat 3 Surah Al-Dukhan. Lihat Nota 038 : Nuzul Al-Quran. Ia digelar sebagai Penghulu Semua Malam. Segala yang bergelar penghulu pasti membawa makna istimewa dan hebat, sebagaimana istilah Penghulu Ayat Al-Quran untuk Ayat Al-Kursi ; Nabi Muhammad SAW Penghulu Semua Nabi dan Rasul ; Ramadhan Penghulu Semua Bulan ; Jumaat Penghulu Semua Hari dalam seminggu ; Hari Arafah Penghulu Semua Hari dalam setahun ; Jibrail Penghulu Semua Malaikat dan lain-lain. Oleh sebab itu, sesiapa yang menginginkan kemuliaan hendaklah bersungguh-sungguh mendapatkan Lailat Al-Qadr pada 10 Akhir Ramadhan.

3.      Malam Yang Sempit ;  Menurut bahasa Arab diantara makna perkataan ( القَدْرُ ) adalahsempit. Ini sebagaimana firman Allah : ( اللهُ يَبْسُطُ الرِّزْقَ لِمَنْ يَشَاءُ وَيَقْدِرُ ) : Allah meluaskan rezeki bagi siapa yang Dia kehendaki dan Dia (pulalah yang) menyempitkannya (Al-Ra’d : 26) ; Mengapa Malam Lailat Al-Qadr dikatakan sebagai malam yang sempit ? Sebanya ialah kerana pada malam itu sungguh banyak malaikat turun dari langit, sehingga tidak ada ruang dipermukaan bumi yang kosong melainkan diisi sepenuhnya oleh para malaikat. Hakikat ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam firman-Nya ( تَنَزَّلُ المَلَائِكَةُ وَالرُّوْحُ فِيْهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ ). Setiap tempat yang dipenuhi atau dihadiri oleh para malaikat pasti diberkati Allah SWT dan dijanjikan ganjaran pahala yang berlipat ganda. Bandingkanlah antara fadhilat amalan yang dilakukan di rumah dengan di masjid ; Mengapa majlis ilmu dikatakan sebagai Taman Syurga ; Kelebihan tersebut ada kaitannya dengan kehadiran malaikat yang sangat ramai ditempat-tempat tersebut. Jadi disebabkan oleh bilangan malaikat yang turun dari langit sangat ramai sehingga memenuhi permukaan bumi, maka setiap amal soleh yang dilakukan pada malam itu akan dilipat-gandakan oleh Allah SWT melebihi ibadat yang dilakukan 1000 bulan atau 83 tahun 4 bulan.
                                                                                                            
4.      Malam Penentuan Taqdir ; Perkataan Al-Qadr mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan Taqdir. Menurut keyakinan kita bahawa setiap manusia sudah ditulis taqdirnya sejak azaliy, apakah yang baiknya atau yang buruknya. Menurut Rasulullah SAW bahawa taqdir setiap manusia telah ditulis oleh Qalam (pen) atas perintah Allah SWT sejak 50.000 tahun sebelum Allah SWT mencipta langit dan bumi. Sayogia dimaklumi bahawa Taqdir Manusia terbagi dua, iaitu : 1. ( تَقْدِيْر مُبْرَم ) : Taqdir Mubram dan 2. ( تَقْدِيْر مُعَلَّق ) : Taqdir Mu’allaq. Taqdir Mubram : Taqdir yang pasti dan tidak akan berubah seperti setiap yang bernyawa pasti merasakan kematian. Taqdir Mu’allaq : Taqdir yang tergantung. Taqdir jenis ini akan menimpa makhluk sesuai dengan masa atau ketika yang telah ditetapkan oleh Allah. Taqdir jenis ini boleh dirubah oleh Allah SWT atas permintaan manusia seperti memohon panjang umur, mohon hidup bahagia, mohon rumah tangga aman dan harmoni, mohon agar anak lulus peperiksaan dengan cemerlang dan lain-lain. Hakikat ini tergambar dalam firman Allah : ( تَنَزَّلُ المَلَائِكَةُ وَالرُّوْحُ فِيْهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ ) : Turunlah para malaikat dan roh (Jibrail) pada malam itu dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur urusan manusia. Jadi maksudnya : Pada Malam Lailat Al-Qadr para akan menulis Taqdir Manusia dari jenis Taqdir Mu’allaq untuk setahun akan datang.

5.      Atas sebab itulah sudah menjadi amalan tetap Rasulullah SAW beliau bersungguh-sungguh menekuni masjid atau I’tikaf selama 10 Akhir Ramadhan. Baginda SAW akan bangunkan ahli keluarganya untuk sama-sama beribadat kepada Allah SWT. Masa inilah yang paling tepat jika kita ingin memohon kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Sila renung Nota berikutnya : I’tikaf 10 Akhir Ramadhan. Walaupun Rasulullah SAW banyak beribadat kepada Allah sepanjang tahun, namun pada 10 Akhir Ramadhan baginda SAW akan lebih bersungguh-sungguh lagi mendekatkan dirinya kepada Allah ‘Azza Wa Jalla. Baginda SAW berbuat demikian, padahal baginda SAW telah dijamin masuk syurga. Bagaimana dengan anda ? Kita semua sebagai umatnya akhir zaman belum ada jaminan masuk syurga. Seharusnya kesungguhan kita beribadat kepada Allah, khasnya memohon kebaikan pada 10 Akhir Ramadhan melebihi kesungguhan Rasulullah SAW. Antara doa yang diajar oleh Nabi SAW ialah : ( اَللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ العَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي ) : Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, oleh sebab itu ampunkanlah dosa-dosaku. Sesetengan ulama menyarankan agar kita selalu membaca doa ( اَللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ المُوَفَّقِيْنَ بِلَيْلَةِ القَدْرِ ) : Ya Allah, masukkanlah kami ke dalam golongan orang-orang yang layak mendapat Lailat Al-Qadr.

NOTE : I’tikaf 10 Akhir Ramadhan bimbingan Ustaz Dr. Abdullah Yasin akan diadakan di Masjid Nahdhah Al-Diniyah – Kg. Malaysia Tambahan – Sg. Besi – Kuala Lumpur bermula hari ini 19hb Ogos hingga 28hb Ogos dengan ketentuan berikut : Setiap malam genap seperti malam ini 19hb Ogos/Ramadhan malam 20 Ramadhan bermula dengan qiyam pada jam 3.00 pagi hingga Subuh. Dan setiap malam ganjil seperti esok 20hb Ogos/ Ramadhan malam 21 Ramadhan bermula dari berbuka puasa Maghrib hingga Subuh. Makan minum selama program I’tikaf disediakan. Semua Muslim dan Muslimat dijemput hadir. Ingat ! Tiada jaminan setiap kita akan menemui Ramadhan akan datang. Oleh itu, jadikanlah Ramadhan tahun ini lebih baik daripada Ramadhan sebelumnya. Amin.

Monday, August 15, 2011

Nuzul Quran....





Menurut Imam as-Suyuti dalam kitabnya al-Itqan:


Al-Quran diturunkan ke langit dunia pada malam al-Qadr secara sekali gus, kemudian diturunkan pula secara berperingkat selama dua puluh tahun, ada pendapat yang mengatakan dua puluh tiga tahun dan ada pula dua puluh lima tahun sejak Nabi Muhammad  saw dilantik menjadi Nabi dan Rasul berdasarkan peristiwa dan keadaan tertentu yang hanya diketahui oleh Allah SWT pada tempoh tersebut.

Tetapi kenapa al-Quran diturunkan sekali gus ke langit dunia dan diturunkan tidak sekali gus malah berperingkat- peringkat ke atas baginda, perkara ini telah dijawab oleh Allah menerusi ayat 32 surah al-Furqan yang bermaksud:



 “Berkatalah orang-orang Kafir : Mengapa al-Quran itu tidak diturunkan kepada (Muhammad) sekali turun sahaja? Demikianlah (dengan cara itu) supaya Kami perkuatkan hatinya dan Kami membacanya kelompok demi kelompok (secara ansur-ansuran)" 




Menurut Imam as-Suyuti, surah pertama turun secara keseluruhan isi kandungannya ialah surah al-Muddathir, sementara riwayat Imam at-Tabarani pula surah yang sempurna diturunkan ialah al-Fatihah dan ada pendapat yang mengatakan ialah surah al-Alaq yang diturunkan hanya lima ayat pertama. Walau bagaimanapun mengikut susunan para ulama: Surah al-Alaq yang pertama diturunkan secara mutlak mengikut pendapat jumhur. Surah al-Muddathir pertama diturunkan dalam konteks menyampaikan mesej dakwah. Surah al-Fatihah pula pertama diturunkan sebagai pembuka kepada surah-surah lain dalam al-Quran.


Rujukan: http://portalspm.blogspot.com

Sunday, August 7, 2011

Kesilapan Kerap Muslim dalam bulan Ramadhan - Ustaz Zaharuddin


Kesilapan Kerap Muslim
Dalam Bulan Ramadhan

Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif ‘mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.
Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-
1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112).
Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)
2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam. Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)
3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam.
Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)
يا رسول الله , أي الدعاء أسمع ؟ : قال : جوف الليل الأخير ودبر الصلوات المكتوبة
Ertinya : "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai Rasulullah :" Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t) ; jawab Nabi : Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu" ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)
4) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, ‘ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering' pastinya.
5) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.
6) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah. Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)
7) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.

8) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat. Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)
9) Menganggap waktu imsak sebagai ‘lampu merah' bagi sahur. Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah ‘lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 278)
10) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.
11) Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram, samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.
Nabi Muhammad menceritakan :-
ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلى السَّمَاءِ يا رَبِّ يا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ
Ertinya : menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis sohih)
Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram?. Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.
12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-
ثلاثة لا ترد دعوتهم , الإمام العادل , والصائم حتى يفطر ودعوة المظلوم
Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )
Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.
إن للصائم عند فطره دعوة لا ترد
Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman